Friday, January 18, 2019

“ APABILA DITANYA MIMPI, TIADA RUPA, TIADA WARNA HANYALAH SUARA”



Pengalaman paling bermakna dalam hidup sudah semestinya sesuatu yang akan membuatkan kita gembira dan sentiasa ingat sampailah bila-bila. Antara pengalaman paling bermakna dalam hidup aku adalah apabila aku diberi peluang untuk berkongsi  rasa menjadi seorang yang cacat penglihatan.
Aku pergi bersama seorang sahabat unimas yang cuti ketika itu daripada Sg Buloh ke tempat program di pejabat Islamic Relief Malaysia di Bandar Baru Bangi. Kenapa aku nak join program ni? Kenapa aku rasa ini pengalaman yang bermakna dalam hidup?

Ini adalah flashback sebelum kenapa aku  nak join program ini. Pada satu hujung minggu, aku bersama-sama dua orang rakan keluar berjalan-jalan kerana dah lama tak berjumpa kerana sibuk dengan hal masing-masing. Sewaktu kami leka berbual-bual di dalam monorel, ada seorang pakcik memakai cermin mata hitam sambil membawa tongkat di sisi ingin masuk ke dalam monorel. Sewaktu beliau masuk,sedikit sahaja lagi akan terhimpit dengan pintu monorel yang besi itu. Mujurlah ada orang yang berhampiran pintu itu yang cepat-cepat menarik tangan pak cik itu sebelum pak cik itu terhimpit.

Rupa-rupanya  pak cik itu tak dapat melihat. Aku tergamam seketika. Aku seakan-akan menyalahkan diriku mengapa aku  hanya berdiam diri sahaja tanpa memberi  pertolongan? Mengapa aku asyik  leka dengan telefon  di dalam monorel berbanding menolong pak cik itu. Sejak itulah, aku berazam nak belajar bagaimana ingin menyantuni mereka yang cacat penglihatan ini.

Kemudian, apabila scroll Instagram IRM, mereka akan buat satu program Visully Impaired tentang cara menyantuni orang cacat penglihatan ini. Lalu, aku terus daftar untuk  join tanpa berfikir panjang.
Di sana, kami belajar cara menyantuni mereka daripada makan sampailah cara bagaimana hendak memimpin mereka berjalan. Malah, kami juga diberi peluang untuk merasa bagaimana hidup tanpa melihat. Kami dipakaikan mask supaya tak dapat melihat dan diberikan tongkat. Kami harus melintas jalan raya tanpa melihat dengan dipimpin oleh orang . Perasaan berdebar itu sangatlah susah digambarkan kerana tak dapat melihat apakah keadaan yang sedang berlaku di sekelilingku pada saat itu. Dengan bunyi kereta yang dipandu sangat laju membuatkan aku sangat takut dan cemas seolah-olah kereta itu akan melanggar aku. 

Ini baru sedikit sahaja yang aku rasa, bagaimana pula dengan mereka? Tidak dapat mengesan sama ada orang yang disekeliling itu jahat mahupun baik. Ya, ada yang baik dan ada juga yang jahat.

“Pada waktu itu, saya menaiki bas. Tiada siapa bersama saya.Hanya lah saya seorang diri. Saya dapat mengesan bahawa ada orang disebelah saya sedang merokok. Tak lama kemudian, di poket baju saya tiba-tiba panas dan bau kesan seperti terbakar”

Kemudian En Alif (bukan nama sebenar)  berhenti bercerita dan tersenyum. Kami semua hairan dan penasaran apa yang terjadi selanjutnya. Kemudian, beliau menarik nafas dan menyambung ceritanya kembali.

“Rupa-rupanya bau terbakar itu datang daripada poket baju saya sendiri. Orang itu sengaja meletakkan abu rokok di poket saya”

Ya, yang namanya manusia itu tidak semuanya baik belaka. Ada yang jahat dan suka mengambil kesempatan.

Ada seorang pak cik ini , beliau menceritakan bagaimana beliau kehilangan nikmat melihat. Ya, beliau dapat melihat sejak beliau lahir  tapi apabila usianya menjejak 40-an, sesuatu kejadian yang telah terjadi mengubah hidupnya 360 darjah. 

Beliau terlibat dalam kemalangan dan koma dalam tempoh yang agak panjang. Setelah tersedar dari koma, semuanya HITAM!!! Beliau tidak dapat melihat wajah-wajah yang tersayang lagi .Hanyalah suara sahaja yang dapat didengar. Beliau sangat down pada masa itu. Pekerjaannya sebagai guru juga sudah terjejas. Dan beliau sering mempersoalkan mengapa Allah memilihnya untuk menjalani ujian yang seberat ini.

Dan tak lama kemudian beliau sedar bahawa berapa lama lagi dia harus berasa down dan terus-menerus kecewa dengan hidup. Maka, beliau bangkit dan menjalani kehidupannya dengan bersemangat sehinggalah pada masa kini. Jika dulu beliau ialah salah seorang guru di sekolah tapi berkat semangat hidupnyadan tawakalnya kepada Allah , beliau sekarang ialah salah seorang pemimpin persatuan NGO untuk golongan yang cacat penglihatan.

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Q.S. Al-Baqarah: 286)

Setiap diantara kita mempunyai kisah hidup masing-masing dan semuanya sudah tertulis oleh-Nya.Allah uji kita sebabnya hanyalah SATU, bukan DUA dan bukan TIGA. Sebab Allah uji kita adalah kerana Allah sayangkan kita!

No comments:

Post a Comment